KUALA LUMPUR 16 Dis. – Undang-undang pemilikan hartanah di Malaysia adalah paling longgar di dunia dan keadaan ini menarik kehadiran pelabur asing sehingga menjejaskan peluang rakyat negara ini.
Persaingan itu menyebabkan nilai sektor berkenaan melambung mencecah paras terlalu tinggi dan berada di luar kemampuan mereka, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Y. H. Ooi.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Knight Frank, berkata, nisbah permintaan hartanah antara rakyat tempatan dan asing pada tahun ini adalah 70:30 dan berdasarkan perkiraan semasa, jumlah penguasaan rakyat asing akan meningkat tahun hadapan.
Menurutnya, walaupun peningkatan nilai hartanah membantu meningkatkan ekonomi negara tetapi ia juga memberikan impak negatif kepada rakyat sekiranya tiada kawalan.
Ooi mendakwa, tiada sebarang had dikenakan kepada para pelabur asing dari segi pemilikan jumlah aset dan lokasi sekiranya ingin memiliki hartanah di Malaysia.
Beliau menjelaskan beberapa negara seperti Australia dan Singapura mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan hartanah di kalangan pelabur asing.
“Antaranya had bilangan aset, hanya boleh membeli aset yang sedang atau belum dibina dan pelbagai lagi bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sempena Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2011 yang akan diadakan pada 18 Januari depan.
Turut hadir bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Mani Usilappan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif PEPS dan Presiden PEPS, Choy Yue Kwong.
Ooi berkata, faktor persaingan ini menyebabkan nilai hartanah di kawasan bandar melonjak tinggi dan langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan sederhana serta ke bawah.
“Kita tidak mampu menandingi kuasa beli pelabur asing dan akhirnya hanya mampu melihat aset strategik dimiliki orang luar. Sesuatu perlu diambil untuk menilai semula masalah ini,” kata beliau.
Ooi menambah, pelabur asing yang banyak memiliki aset di Malaysia adalah dari Singapura, Hong Kong, Indonesia, Eropah dan rantau Asia Tengah.
Lokasi yang menarik perhatian mereka adalah Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang atas faktor infrastruktur dan kemudahan yang serba lengkap.
Mani pula menjelaskan, sekiranya keadaan itu berterusan, mungkin akan timbul persoalan sama ada industri hartanah tempatan dibina untuk rakyat atau pelabur asing.
Sementara itu, Yue Kwong berkata, nilai hartanah di Asia termasuk Malaysia dijangka terus meningkat pada tahun depan berikutan pertumbuhan ekonominya yang positif meskipun berlaku kemerosotan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Katanya, keadaan ekonomi luar yang tidak menggalakkan akan menyaksikan dana pelaburan khususnya sektor hartanah bakal beralih ke Asia dan Malaysia turut mendapat faedahnya berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada.
Beliau berkata, permintaan tinggi dalam sektor hartanah tempatan akan meningkatkan kadar kecairan pasaran dan nilai hartanah khususnya di Kuala Lumpur.
“Peningkatan nilai hartanah pada tahun depan mungkin tidak setinggi tahun ini yang mencatat peningkatan 30 peratus kerana pertumbuhan ekonomi negara dijangka perlahan,” jelasnya.
Di petik dari Utusan 17.12.2010
Sumber: http://jom2lelong.blogspot.com/
2 comments:
Salam.
Rasanya kerajaan lagi galakkan orang luar untuk membeli tanah kat Malaaysia ni. lama-lama kita sewa kat orang lain jer lar kot?
regards:
lunaticg.
via Sabahan Bloggers Club.
Haih..menumpang di negara sendiri kan?huhu. Hi there;-)
Post a Comment